REIMS 0 PSG 3

Thomas Tuchel tidak mengharapkan aksi sempurna daripada Paris Saint-Germain (PSG) ketika berdepan Reims tetapi berpuas hati dengan apa yang dipaparkan pendahulu Ligue 1 itu ketika mengesahkan kemaraan ke final Coupe de la Ligue.


PSG meraih kemenangan 3-0 di Stade Auguste-Delaune awal pagi tadi dengan Marquinhos membuka jaringan sebelum Ghislain Konan terjaring gol ke gawang sendiri dan pemain gantian, Nianzou Kouassi, melengkapkan kemenangan itu dengan gol ke 4,000 kelab berkenaan dalam saingan kompetitif.

Lyon akan menjadi lawan mereka dalam final April depan, dengan PSG akan turun untuk memburu kejuaraan kesembilan Coupe de la Ligue.

Walaupun ia jauh berbeza daripada prestasi sebenar PSG, Tuchel tidak kisah dengan kesukaran yang dihadapi pasukannya ketika menentang Reims kerana lawan itu memiliki rangkaian pertahanan terbaik dalam Ligue 1 musim ini.

"Kami berusaha untuk bertahan dan ia satu keperluan. Siapa yang dapat menghasilkan banyak peluang ketika menentang Reims? Tiada siapa," kata pengurus itu kepada Canal+.

"Kami memanfaatkan gerakan set-piece, ia sebahagian daripada permainan dan kami memperoleh lebih peluang dalam babak kedua.

"Kami bermain dengan serius, sabar dan efisien. Ia sesuatu yang bagus," katanya.

Marquinhos membintangi persembahan PSG, namun dia terpaksa dikeluarkan pada pertengahan babak kedua kerana kecederaan kelangkang berulang yang pernah mengakibatkannya terlepas perlawanan menentang Lorient dan Monaco sebelum ini.

"Marquinhos? Dia berasakan sesuatu, harap-harap ia tidak terlalu serius.

"Ia tempat yang sama dia pernah cedera sebelum ini," tambahnya.




Editor: Muzaffar Musa