PSG 1 CAEN 0

Moise Kean menepis kegusaran terhadap kecergasan Neymar dengan menegaskan "segalanya baik-baik saja" mengenai rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain (PSG) itu menjelang perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) dengan Barcelona sambil Mauricio Pochettino enggan memberi jaminan.


Neymar membarisi kesebelasan ketika PSG berdepan Caen dalam Coupe de France, awal pagi tadi, apabila mencipta gerakan untuk gol tunggal sumbangan Kean.

Namun, bintang Brazil itu terpaksa dikeluarkan selepas sejam permainan sambil memegang pangkal pahanya.

PSG akan menghadapi bekas kelab Neymar, Barca, minggu depan, dalam aksi pembukaan pusingan 16 UCL, tiga hari selepas pertemuan Ligue 1 dengan Nice, Ahad ini.

Namun, Kean - yang kini telah menjaringkan 12 gol dalam semua pertandingan musim ini - mendakwa bahawa Neymar cergas dan sihat walaupun ada kebimbangan.

"Semua baik-baik saja, dia sudah bersiap sedia," kata Kean kepada Eurosport.

"Esok, dalam latihan, dia akan pulih. Dia akan bersedia untuk perlawanan itu."



Pochettino, bagaimanapun, lebih senang mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati.

"Otot perut kirinya terjejas dan esok mereka akan memeriksanya bagi menilai tahap kecederaannya,"

kata pengurus itu kepada wartawan.

Kami belum tahu sejauh mana kecederaannya, esok kami akan mengetahui lebih lanjut."

Neymar sering mengalami kecederaan pada waktu yang sama pada musim-musim sebelum ini sejak menyarung jersi PSG.

Pemain berusia 29 tahun itu mengalami patah kaki pada Februari 2018, secara tidak langsung mengetepikannya hampir tiga bulan yang menyaksikan PSG disingkirkan dengan agregat 2-5 kepada juara menanti, Real Madrid.

Kecederaan pergelangan kaki pula memaksanya sekadar menjadi penonton dari Januari hingga April 2019 apabila PSG tewas di tangan Manchester United.

Namun, dia cergas ketika membantu pasukan Paris itu mengatasi Borussia Dortmund pada musim lalu sebelum penangguhan kempen ditangguhkan akibat penularan COVID-19.