Monaco disingkirkan wakil Ligue 2, Metz, dalam Kejohanan Coupe de France untuk kekecewaan terbaru Thierry Henry.

Jaringan mengagumkan daripada Gauthier Hein dan Marvin Gakpa membantu pendahulu Ligue 2 itu menang 3-1 di Stade Louis II yang lengang, awal pagi tadi.

Hein membuka jaringan pada minit ke-32 menerusi tendangan lencong, namun Metz hanya sempat memimpin perlawanan buat seketika sebelum ketua pasukan Monaco, Radamel Falcao, mengimbangi kedudukan dengan memanfaatkan hantaran silang Djibril Sidibe.

Satu lagi penyudah hebat meletakkan Metz kembali di depan pada minit ke-62 selepas tendangan deras Gakpa dari jarak 25 ela menewaskan penjaga gol, Danijel Subasic.

Henry kemudian memasukkan Cesc Fabregas, sebaliknya keputusan bertambah buruk buat Monaco pada minit ke-74 apabila Hein membuat umpanan untuk dilengkapkan Ibrahima Niane.

Skuad bimbingan Frederic Antonetti itu hampir menambah derita lawan tetapi pengadil, Antony Gautier, membatalkan gol keempat Metz ekoran kekasaran terhadap Subasic.

Kekalahan Monaco itu menyusul selepas mereka dibelasah 5-1 oleh Strasbourg di laman sendiri dalam aksi Ligue 1, Sabtu lalu, perlawanan yang menyaksikan bekas penyerang Arsenal dan Perancis, Henry, hilang sabar.

Henry menghamburkan kata-kata kesat kepada pertahanan lawan, Kenny Lala, berikutan tindakannya yang melengahkan masa.

Monaco, satu mata dipisahkan dari tangga tercorot Ligue 1, bagaimanapun masih dalam saingan Coupe de la Ligue.

Pasukan kendalian Henry itu bakal menghadapi kelab yang menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG), Guingamp, dalam aksi separuh akhir minggu depan.