Douglas Costa bakal terlepas aksi Bundesliga berdepan Borussia Monchengladbach serta diketepikan daripada skuad Brazil untuk kelayakan Piala Dunia berdepan Uruguay dan Paraguay selepas mengalami kecederaan lutut.

Penyerang berusia 26 tahun itu ditimpa kecederaan dalam sesi latihan dan kekal di Bavaria untuk menjalani latihan -- bermakna jurulatih Brazil, Tite, bakal menghadapi perlawanan akan datang tanpa kelibat bekas pemain Shakhtar Donetsk itu.

Costa kini telah menjaringkan tujuh gol dalam 27 penampilan dalam semua pertandingan musim ini, dua daripadanya hadir ketika menewaskan Eintracht Frankfurt 3-0 bagi saingan Bundesliga dan Arsenal 5-1 bagi saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Brazil, bagaimanapun, sudah biasa tanpa penyerang itu, yang terlepas Copa America Centenario tahun lalu di samping empat perlawanan kelayakan Piala Dunia pada 2016 disebabkan kecederaan.