Atletico Madrid akhirnya mencapai persetujuan untuk mendapatkan penyerang Chelsea, Diego Costa.

Penyerang kebangsaan Sepanyol itu bakal terbang ke Madrid beberapa hari lagi untuk menjalani ujian kesihatan dan melengkapkan sebarang dokumen berkaitan sebelum menyempurnakan perpindahan yang dilaporkan bernilai hampir EUR60 juta (RM300 juta), termasuk bonus.

Pemain berusia 28 tahun itu akan kembali menyertai skuad kendalian Diego Simeone pada Januari ketika jendela perpindahan dibuka dan penggantungan Atletico untuk membeli mana-mana pemain berakhir.

“Atletico Madrid dan Chelsea telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan perpindahan Diego Costa. Perjanjian itu tertakluk kepada proses menandatangani kontrak di antara kelab dan pemain,” kata satu kenyataan daripada laman web rasmi Atletico Madrid.

Persetujuan itu bermakna segala isu yang membelenggu Costa sebelum ini bakal berakhir dalam masa beberapa bulan sahaja lagi, selepas sebelum ini dia mendedahkan pengendali The Blues, Antonio Conte, menghantar mesej pesanan ringkas kepadanya untuk memberitahu bahawa dia bebas untuk meninggalkan pasukan walaupun membantu pasukan menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak dua kali dalam masa tiga tahun.

Sejak Julai lalu, Costa dilaporkan berada di Brazil dan menolak untuk menyertai kem latihan Chelsea selepas mendakwa pasukan dari London itu melayannya seperti seorang 'penjenayah'.