ATLETICO 1 ARSENAL 0
(Atletico menang agregat 2-1)

Arsene Wenger dinafikan peluang untuk menamatkan karier bersama Arsenal dengan peluang menjuarai satu trofi musim ini selepas Atletico Madrid meraih kemenangan 1-0 untuk memastikan kemenangan 2-1 menerusi agregat dan mara ke final Liga Europa (UEL), awal pagi tadi.


Bulan lalu, Wenger telah mengesahkan beliau akan menamatkan khidmat 22 tahun bersama The Gunners pada penghujung musim ini dan harapan mereka untuk menamatkan musim ini dengan satu trofi berakhir apabila skuad kendalian Diego Simeone itu mempamerkan aksi cemerlang bagi memastikan mereka meraih kemenangan.

Arsenal kurang bernasib baik apabila mereka kehilangan khidmat kapten pasukan, Laurent Koscielny, yang mengalami kecederaan dan pemain kebangsaan Perancis itu mungkin terlepas saingan Piala Dunia.

Walaupun Arsenal terus mempamerkan aksi cemerlang, mereka gagal menyempurnakan peluang demi peluang hingga Atletico mengambil kesempatan -- sebelum tamat separuh masa pertama, Diego Costa menyumbat masuk gol keempatnya dalam tujuh pertemuan dengan Arsenal.

Arsenal terus memburu jaringan dalam separuh masa kedua, bagaimanapun gagal mencari gol penyamaan dan menyaksikan mereka tersingkir daripada saingan UEL.