Diego Costa berkata dia kecewa dengan Atletico Madrid kerana tidak menunggu cukup lama dalam usahanya merencana desakan ke atas Chelsea supaya melepaskannya dan berikrar untuk tidak akan kembali ke kelab LaLiga itu.

Costa yang hampir meninggalkan Chelsea pada musim panas lalu selepas mempertimbangkan hasrat untuk kembali ke Atletico secara serius, didorong oleh sebab-sebab keluarga, menjelang kempen 2016-17.

Pemain antarabangsa Sepanyol berusia 28 tahun itu, bagaimanapun, kekal dan muncul sebagai bintang utama di bawah kendalian ketua jurulatih, Antonio Conte -- yang menggantikan Jose Mourinho -- apabila meledak 17 gol untuk membantu Chelsea selesa dengan kelebihan 10 mata dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagaimanapun, Costa mendedahkan bagaimana dia terdesak untuk kembali ke Vicente Calderon, di mana dia meninggalkannnya untuk ke Stamford Bridge pada 2014.

"Hubungan saya dengan Conte tidak bermula dengan baik kerana semasa ketibaannya, saya memberitahunya bahawa saya mahu pergi ke Atletico," Costa memberitahu Cadena Ser.

"Saya melakukan segala yang mungkin untuk kembali ke Atletico. Saya tidak akan berjuang seperti itu untuk kembali lagi.

"Tatkala Atletico terpaksa menunggu saya, mereka tidak melakukannya sedangkan pasaran masih terbuka selama beberapa bulan lagi."

"Apabila Atletico tidak menunggu saya, saya terpaksa menanggung malu untuk berdepan dengan Conte."

Dengan perpindahan ke Atletico sudah terjawab dan langkah seteru setempat, Real Madrid, dianggap mustahil, Costa enggan menolak perpindahan lumayan ke Liga Super China (CSL).

Kelab CSL cukup berminat dengannya pada Januari dan Februari lalu, dengan jurulatih terkemuka Tianjin Quanjian, Fabio Cannavaro, berlumba untuk menandatanganinya.

"Jangan menolak apa-apa cadangan," kata Costa yang sedang bersedia untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Israel dan aksi persahabatan antarabangsa di Perancis bersama La Roja.

"Ia hampir mustahil untuk ke Madrid selepas hubungan saya dengan Atletico.

"Dalam hidup, segala-galanya boleh berlaku dan saya tidak akan menutup pintu kepada apa-apa cadangan.

"Sekarang saya selesa di Chelsea, saya mempunyai kontrak selama dua tahun lagi. Saya berhasrat untuk memenuhi kontrak saya tetapi anda tidak tahu.

"Tidak mustahil untuk menolak perpindahan ke CSL kerana ada perkara yang perlu dinilai.

"Semua aspek perlu dipertimbangkan. Saya tidak menolak apa-apa. Jika mereka datang dengan sesuatu untuk Chelsea dan kelab memberitahu saya untuk pergi... maka saya boleh pergi ke China atau ke tempat lain."