Media di England melaporkan penyerang Chelsea, Diego Costa, telah mengadakan perjumpaan dengan ejen tersohor bola sepak, Jorge Mendes, dan beberapa ahli perniagaan di sebuah restoran eksklusif, sekaligus mencetuskan tanda tanya mengenai masa depan pemain itu di Stamford Bridge.

Penyerang kelahiran Brazil itu hampir meninggalkan The Blues hujung musim lalu untuk kembali menyertai Atletico Madrid selain dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Super China.

Dalam sekeping gambar yang dimuat naik akhbar The Sun, Costa dilihat duduk bersebelahan Mendes, yang turut menjadi wakil ejen kepada Jose Mourinho dan Cristiano Ronaldo.

Tidak dapat dipastikan apakah tujuan pertemuan tersebut atau sama ada ia ada kaitan dengan sebarang perpindahan melibatkan pemain itu.

Pemain berusia 28 tahun itu merupakan penjaring terbanyak Chelsea musim ini dengan 20 gol, namun dia dilihat masih belum menyesuaikan diri dengan kehidupan baru di London.

Minggu lalu, Shu Yuhui, pemilik kelab Tianjin Quanjian, memberitahu media China bahawa mereka sedang berusaha mendapatkan khidmat Costa.

Tianjin dilaporkan bersedia menawarkan gaji tiga kali ganda daripada pendapatannya di Chelsea di samping bertekad membelanjakan GBP80 juta (RM347 juta) bagi mendapatkan pemain itu.