Arsene Wenger bimbang dengan impak Diego Costa yang mampu dilakukan ke atas Arsenal dalam aksi separuh akhir kedua Liga Europa (UEL) bertemu Atletico Madrid.

Costa kekal sebagai pemain gantian yang tidak digunakan ketika mereka seri 1-1 di Stadium Emirates minggu lalu selepas pulih daripada kecederaan hamstring.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu menyempurnakan aksi selama 60 minit sebelum memberikan laluan kepada Kevin Gameiro ketika Atletico meraih kemenangan 1-0 ke atas Alaves dan dijangka menjadi pilihan untuk bergandingan dengan Antoine Griezmann.

Costa menjaringkan gol tiga kali berdepan Arsenal ketika menyarung jersi Chelsea dan sentiasa dilihat sebagai ancaman kepada Arsenal.

"Dalam sejarah, dia mampu memberikan ancaman kepada kami," kata Wenger.

"Kami akan berusaha untuk mengekang pergerakannya."

Arsenal tewas dalam enam aksi di laman lawan bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Wenger berharap ia tidak mempengaruhi aksi pemain-pemainnya ketika bertandang ke Wanda Metropolitano.

"Anda perlu memberikan tumpuan kepada prestasi sendiri, ia adalah perkara yang paling penting. Kami mahu berusaha meraih kemenangan ini untuk ke final," tambahnya.