INTER 2 UDINESE 0

Joaquin Correa berasakan kegigihannya membuahkan hasil selepas menjaringkan kedua-dua gol dalam kemenangan 2-0 Inter ke atas Udinese.

Walaupun mengawal penguasaan bola dalam pertembungan Serie A itu, pasukan di tangga ketiga kendalian Simone Inzaghi tersebut terpaksa bersabar untuk menembusi gawang lawan di San Siro, malam tadi.

Penantian mereka akhirnya tiba ketika sejam permainan hasil jaringan menarik Correa sebelum pemain antarabangsa Argentina itu menggandakan pendahuluan dengan penyudah klinikal, lapan minit kemudian.

Hanya membuat permulaan ketiganya buat kelab -- yang pertama di San Siro -- selepas dipinjamkan ke Lazio musim lalu, dia telah mencatat empat jaringan musim ini.

Justeru, penyerang itu percaya dia dan rakan sepasukannya telah meraih ganjaran atas kesabaran mereka.

“Ia adalah satu perlawanan yang sangat rumit dan amat penting untuk mendapatkan tiga mata,” katanya kepada Sky Sport Italia.

"Tidak banyak ruang diberikan lawan tetapi kami tidak pernah berhenti memperagakan corak permainan sendiri.

“Malangnya, kecederaan menyekat kemajuan saya musim ini tetapi saya sudah kembali cergas dan akan cuba membantu pasukan dengan segala daya.

“Permainan saya tidak berjalan lancar dalam separuh masa pertama tetapi saya tidak pernah berhenti mencuba.

"Sekarang kami perlu meneruskan laluan ini kerana semua orang dalam pasukan mahukan perkara yang sama."




Selepas meraih rekod tanpa bolos dalam aksi kedua berturut-turut, pengurus, Inzaghi, berasakan ia adalah bukti keseimbangan dalam pasukannya.

“Ini bukan satu pertemuan yang mudah kerana kita tahu Udinese adalah sebuah pasukan fizikal yang cenderung menutup ruang,” katanya.

“Pemain tidak mempunyai banyak masa untuk membuat persediaan tetapi kami bekerja keras dan mesti meneruskannya selepas meraih dua kemenangan berturut-turut tanpa bolos.

"Kami mempunyai pertahanan yang sangat baik tetapi rekod bersih bergantung kepada keseimbangan di seluruh jentera pasukan, bukan pemain pertahanan semata-mata."