Barcelona mempunyai semangat berpasukan yang lebih baik daripada Real Madrid dan ia mampu memberi mereka kelebihan apabila menghadapi pertembungan 'El Clasico' pada awal pagi Isnin nanti, menurut Ronald de Boer.

Bekas nadi penting Belanda itu yang memenangi kejuaraan LaLiga bersama Barca pada musim 1998-1999, percaya identiti bekas pasukannya itu boleh membantu mereka untuk mengungguli pertemuan getir itu.

Real Madrid menerajui LaLiga dengan kelebihan tiga mata di atas Barcelona tetapi seandainya mata mereka terikat pada akhir musim nanti, Barcelona berpeluang untuk menang berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan musim ini.

De Boer menegaskan himpunan pemain berbakat di jentera serangan Real Madrid dan Barcelona di Santiago Bernabeu merupakan kunci kepada perlawanan itu.

"Pemain-pemain terbaik di dunia bermain di Sepanyol," ujar de Boer kepada Omnisport.

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kelab-kelab Sepanyol telah mendominasi Liga Juara-Juara, terutama dengan kehadiran pemain seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, yang merupakan pemain terbaik di dunia untuk kedua-dua pasukan.

"Ia mengenai berada dalam keadaan terbaik. Pada masa ini, ia agak seimbang. Real Madrid agak stabil di setiap posisi pada tahun ini.

"Mereka boleh menjaringkan gol melalui Ronaldo, (Sergio) Ramos, (Alvaro) Morata dan (Gareth) Bale. Mereka memiliki ramai bintang handalan yang boleh diturunkan dalam kesebelasan di atas padang dan mereka boleh bermain antara satu sama lain.

"Barcelona, di mata saya, adalah lebih baik sebagai sebuah pasukan. Mereka mempunyai idea tentang bagaimana mereka mahu bermain. Permainan Neymar semakin berkembang, Messi kembali dengan penyudah tajam dan begitu juga dengan (Luis) Suarez.

"Saya fikir kedua-dua pasukan dalam keadaan yang baik, jadi adalah sukar untuk memberitahu siapa yang akan menang."

De Boer percaya Neymar semakin menyinar dan dia akan bersedia untuk mengambil alih peranan Messi apabila pemain antarabangsa Argentina itu meninggalkan skuad Catalan itu.

"Dia mencorak kepimpinannya di Brazil," kata de Boer. "Saya melihat dia menjadi semakin penting untuk Barcelona. Dia adalah salah seorang pemain terbaik yang ada di planet ini.

"Apabila dia semakin matang, dia akan mengisi tempat Messi. Neymar semakin menghampirinya dan saya tidak pasti sama ada dia akan menjadi sebaik Messi tetapi dia pasti mencubanya."