ATALANTA 1 JUVENTUS 2

Andrea Pirlo mahu kekal mengemudi Juventus musim depan tetapi akur keputusan itu bukan di tangannya.


Pirlo mengharungi musim pertama yang mencabar dalam musim sulungnya mengendalikan Bianconeri, tetapi dia membantu mereka menjulang gelaran Coppa Italia buat kali ke-14 sekali gus dengan kemenangan 2-1 ke atas Atalanta, awal pagi tadi.

Federico Chiesa menyumbat gol kemenangan -- 17 minit menuju masa kecederaan -- selepas Ruslan Malinovskiy membatalkan jaringan cantik Dejan Kulusevski.

Kemenangan itu meletakkan Pirlo sebagai pengurus keempat Juve yang memenangi Coppa Italia sebagai pemain dan jurulatih bagi menyusuli jejak Luis Monti, Carlo Parola dan Dino Zoff.

Juve perlu mengalahkan Bologna pada hari terakhir musim ini, awal pagi Isnin depan, sambil berharap salah satu pencabar, Napoli atau Milan, tumbang dalam dalam perlawanan masing-masing ketika menentang Hellas Verona dan Atalanta dalam usaha mengintai kelayakan Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.

Walaupun Pirlo tidak berselindung mereka menempuhi musim yang sulit, dia menegaskan bahawa dia tidak berniat untuk mengundurkan diri pada akhir kempen kali ini.

"Kami tidak akan berada di sini untuk bercakap tentang tempat kelima dan tersingkir awal dalam UCL sekiranya musim ini benar-benar positif," katanya kepada RAI Sport.

"Kami mengalami pasang surut, kedua-dua piala ini (termasuk Supercoppa Italiana) tidak mampu mengubatinya.

"Untuk musim pertama saya sebagai pengurus, saya telah banyak belajar dan mendapati ia satu perasaan sangat memuaskan.

"Sudah tentu saya mahu meneruskan peranan ini. Saya suka bola sepak sejak kecil lagi dan akan terus menyukainya. Kelab akan memutuskan tetapi saya suka melatih. Saya cintakan kelab ini dan kita akan melihat apakah keputusannya kelak. Saya ingin terus berkhidmat."





Pirlo juga mendedahkan Chiesa hampir dinafikan gemilangnya ekoran Paulo Dybala sudah bersedia menggantikannya sebelum mencetak gol kemenangan itu.

"Kami ingin mengeluarkan ketika dia menjaringkan gol," katanya.

"Bukan semua pemain berkesempatan menyumbangkan gol penentu dalam final, jadi ini sangat bagus buatnya."

Walaupun Juve bergelut dalam separuh masa pertama di Stadium Mapei itu, mereka ibarat pasukan yang dilahirkan semula dalam babak kedua.

Mereka membatasi Atalanta -- yang mengundang kad merah Rafael Toloi biarpun sudah digantikan -- apabila hanya membenarkan seteru mereka itu melancarkan satu percubaan.

"Ini adalah satu perlawanan luar biasa membabitkan dua pasukan hebat yang berjuang dari awal hingga akhir wisel," tambahnya.

"Juan Cuadrado agak terlalu ke dalam dalam babak pertama tetapi saya memberitahunya agar lebih garang ketika berdepan Robin Gosens dan Weston McKennie demi menyerang bek tengah mereka.

"Kami melakukannya dalam separuh masa kedua dan semuanya menjadi lebih baik."