Bintang berpengalaman, Ivan Perisic, memberi isyarat bahawa dia sudah bersedia menetapkan hala tuju baru selepas membantu Inter mengakhiri penantian trofi Coppa Italia selama 11 tahun, awal pagi tadi.

Tonggak dari Croatia itu menyumbangkan dua gol ketika bangkit mengecewakan Juventus 4-2 dalam masa tambahan tetapi selepas perlawanan, dia meluahkan kekecewaannya kerana isu pembaharuan kontraknya kurang diberi perhatian oleh majikannya.

Perisic memberitahu Mediaset: "Saya tidak pasti tapi pemain penting kelab tidak akan menunggu hingga saat-saat akhir."




Jika beberapa minggu akan datang adalah yang terakhir menyarung jersi Inter, dia masih boleh berbangga dalam usaha mereka memenangi trofi buat sekian kalinya.

Walaupun berpeluang tipis untuk mempertahankan mahkota Serie A menuju dua perlawanan terakhir musim ini, tetapi kelebihan tipis dua mata Milan bermakna harapan mereka masih lagi bernyala.

"Sepanjang masa," katanya ketika ditanya sama ada Inter masih percaya mereka masih mampu merampas kedudukan musuh setempat itu.

"Kami perlu meneruskannya seperti ini.

"Ada dua perlawanan akhir lagi, kami perlu memberikan segala-galanya, menang sambil menanti kerana dalam bola sepak segala-galanya tidak mustahil."