NAPOLI 0 ATALANTA 0

Atalanta gagal memanfaatkan keunggulan ketika seri tanpa jaringan di Napoli dalam pertembungan pertama separuh akhir Coppa Italia, awal pagi tadi, selepas David Ospina memperagakan aksi tangkas buat tuan rumah.


Anak buah Gian Piero Gasperini itu menguasai sebahagian besar perlawanan dan mencipta peluang terbaik, tetapi mereka akhirnya terpaksa berpuas hati dengan kedudukan berkenaan menjelang perlawanan timbal balik di Bergamo minggu depan.

Luis Muriel menjadi duri dalam daging buat tuan rumah apabila acap kali mencemaskan gawang Napoli, namun penjaga gol dari Colombia, Ospina, bertindak cemerlang untuk memastikan kubunya terus kebal.

Walaupun Napoli kelihatan lebih ampuh pada awal permainan, Atalanta kemudian mendominasi permainan dan hampir memecah kebuntuan menerusi sepakan percuma Muriel yang menuju ke sudut kiri gawang sebelum ditepis Ospina.

Muriel terus lincah apabila membuat umpanan kepada Matteo Pessina di dalam kotak penalti, tetapi dinafikan penjaga gol itu sementara Rafael Toloi pula merembat liar selepas membuat gerakan bijak 1-2.



Muriel kemudian mensia-siakan peluang terbaiknya dengan tendangan tidak tepat pada hujung babak pertama selepas memperdayakan Kalidou Koulibaly.

Ospina terus sibuk pada awal tempoh kedua dengan menggagalkan usaha Muriel dan Joakim Maehle.

Napoli semakin hilang cengkaman di bahagian tengah sebaik kehilangan Diego Demme dan Lorenzo Insigne dilanda kecederaan, situasi itu secara tidak langsung memberi kesempatan kepada Atalanta untuk kembali menguasai permainan.

Begitupun, Robin Gosens keemudian melepaskan peluang gemilangnya menuju 13 minit hujung perlawanan dan ternyata ia peluang terakhir mereka bagi mendapatkan bekalan menjelang aksi timbal balik kelak.