Simone Inzaghi berpendapat semangat juang Inter kebelakangan ini bagi memberi tekanan kepada musuh setempat, Milan, akan dijadikan sebagai bekalan motivasi tambahan menjelang aksi separuh akhir kedua Coppa Italia, awal pagi esok.

Inter akan berdepan pendahulu Serie A itu untuk mengintai penampilan pertama final Coppa Italia sejak mengalahkan Palermo untuk menjulang trofi berkenaan pada 2011.

Inter, bagaimanapun, gagal memenangi mana-mana tiga pertemuan 'derby' musim ini apabila sekadar mengutip satu mata dalam dua pertemuan liga sebelum seri 0-0 dalam pertemuan pertama separuh akhir.

Tiga perlawanan derby tanpa kemenangan menandakan kempen terburuk Inter menentang Rossoneri sejak 2005, tetapi Inzaghi percaya Nerazzurri mampu menggunakan keputusan itu bagi menyuntik semangat mereka pada kali ini.

“Kami telah mengharungi tiga derby setakat ini, dua dalam liga dan satu dalam Coppa Italia,” kata Inzaghi pada sidang akhbar.

“Kami tahu kami perlu menang dan kami mahu menang esok kerana kami dambakan final.

"Kami patut meraih keputusan yang lebih baik daripada perlawanan sebelum ini. Kami perlu lebih tajam untuk menjadikan detik-detik getir dapat berjalan dengan lancar kerana ia boleh menjadi titik tolak. Ia adalah perlawanan yang begitu penting.

"Sudah tentu keputusan sebelum ini mampu memotivasikan Inter. Ketiga-tiga derby semuanya berbeza. Kami beraksi dengan sangat baik dalam dua perlawanan pertama dan kedua-dua pasukan sama handal dalam perlawanan terakhir.



"Ini adalah perlawanan yang sangat mencabar. Kami menyedarinya dan kami tahu ia adalah peluang yang baik untuk kami. Kami mahu merebutnya dengan kedua-dua tangan.

"Kami berada di landasan yang tepat untuk mencapai kedua-dua sasaran kami. Kami melakukannya dengan sangat baik dan jangan lupa bahawa kami juga memenangi Piala Super Itali pada Januari lalu."