INTER 3 VENEZIA 2

Simone Inzaghi melahirkan rasa gembira dengan tindak balas Inter ketika menyaksikan pasukannya bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Empoli 3-2 dalam pusingan 16 Coppa Italia.


Empoli mengejutkan pendahulu Serie A itu dalam separuh masa kedua apabila pemain gantian, Nedim Bajrami, membatalkan gol pembukaan Alexis Sanchez sebelum pelawat mendahului pertembungan di San Siro itu berikutan kesilapan Ionut Radu melencong ke gawangnya sendiri.

Andrea Ranocchia menyamakan kedudukan dengan gol penyamaan pada masa kecederaan melalui sentuhan akrobatik untuk menghantar Inter ke masa tambahan dalam pusingan 16 kejohanan itu buat kali keempat dalam lapan perlawanan terakhir.

Pemain gantian, Stefano Sensi, kembali memberi kelebihan kepada tuan rumah selepas 104 minit untuk pasukan bimbingan Inzaghi itu mempunyai 20 penjaring berbeza musim ini -– lebih banyak daripada pasukan lain dalam lima liga teratas Eropah.




Walaupun mensia-siakan pendahuluan satu gol awal, Inzaghi tetap berpuas hati dengan apa yang disaksikan daripada anak buahnya untuk mereka mara ke suku akhir buat kali ke-18 dalam 19 musim terakhir.

"Saya fikir kami mempunyai separuh masa pertama yang sangat baik, kami perlu mengucapkan tahniah kepada penjaga gol kerana menyelamatkan dua, atau tiga, percubaan berbahaya," katanya kepada Inter TV selepas perlawanan.

"Pada pendapat saya, kami layak mendapatkan beberapa gol lagi, kemudian dalam babak kedua pula kami mengendurkan permainan. Jika diberi ruang, pemain membuktikan kualiti yang mereka ada.

“Kami dengan rombakan pemain, kami menukar formasi tetapi pemain memberikan segala-galanya di atas padang, mereka tidak berputus asa dan kami layak ke suku dengan penuh keyakinan.

"Kami menderita, kami ketinggalan tetapi saya berpuas hati dengan reaksi pemain."

Inter akan kembali beraksi dalam Serie A apabila menyambut Venezia, Ahad ini.