INTER 3 MILAN 0
(Inter mara ke final dengan agregat 3-0)

Stefano Pioli berang dengan keputusan pengadil yang menjadi punca Milan dikecewakan 0-3 oleh musuh ketat, Inter, dalam separuh akhir Coppa Italia, sebentar tadi.


Pioli tiba-tiba meninggalkan sesi temu bual dengan Mediaset sejurus perlawanan itu untuk menyemak rakaman gol Ismael Bennacer yang dibatalkan selepas Pierre Kalulu dihukum ofsaid kerana menghalang pandangan Samir Handanovic di depan gawang Inter.

Dengan Milan ketinggalan 0-2 pada minit ke-68 pertemuan kedua itu, jaringan Bennacer pastinya hadir tepat pada masanya untuk memberikan mereka momentum lewat.

Selepas melihat rakaman itu, pengurus Rossoneri berusia 56 tersebut itu tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya.

“Lihat reaksi Handanovic, adakah dia membantah,” katanya kepada Mediaset.

"Dia sekadar berdiri kaku kerana jika ada pemain Milan yang menghalang pandangannya, pasti dia akan segera berlari untuk membantah."



Di sebalik pertemuan terakhir mereka buntu tanpa jaringan, Milan acap kurang menyerlah dalam perlawanan getir dan dua gol Lautaro Martinez dalam separuh masa pertama telah mencorakkan hala tuju permainan itu.

Sekalipun gol yang dibatalkan itu telah mempengaruhi keputusan perlawanan, Pioli tetap mengakui Inter adalah pasukan yang lebih baik.

"Kami mahu menang, kami tidak berjaya. Kami menentang lawan yang kuat," katanya lagi.

“Keputusannya jelas tetapi saya tidak fikir terdapat perbezaan besar di antara kami cuma Inter menjaringkan gol pada saat yang tepat.

"Kami sentiasa berusaha dan mencipta peluang, 1-2 akan memberi kami harapan kerana kami berjuang. Selepas itu, segala-galanya menjadi lebih sukar.

"Sudah tentu kami boleh melakukan yanag lebih bagus lagi. Apabila anda melepaskan tiga gol, ini bermakna pihak lain telah beraksi dengan lebih berkualiti. Ia bukan malam kami. Persembahan kami terlalu buruk biarpun kami mahu mara ke final dengan apa cara sekalipun."