ATALANTA 2 FIORENTINA 3

Ketua pengarah Atalanta, Umberto Marino, menyifatkan gol Nikola Milenkovic untuk kemenangan Fiorentina pada minit ke-93 sebagai satu kesilapan yang serius.


Tuan rumah berputih mata apabila dibolosi jaringan lewat permainan itu yang membuka langkah Fiorentina untuk menang 3-2 di Stadium Gewiss, awal pagi tadi, seterusnya lolos ke separuh akhir Coppa Italia.

Sepakan penalti Krzysztof Piatek pada minit ke-9 dipadamkan oleh jaringan Davide Zappacosta dan Jeremie Boga untuk Atalanta pula menerajui permainan.

Piatek kemudian menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki 20 minit walaupun satu lagi sepakan penaltinya diselamatkan Juan Musso, sebelum voli kencang Milenkovic dalam masa kecederaan memastikan kemaraan mereka.

La Viola -– yang kehilangan Lucas Martinez Quarta ketika aksi berbaki 10 minit berikutan kad kuning kedua -– meraikannya detik gemilang mereka itu sementara tuan rumah tidak berpuas hati dengan keputusan video bantuan pengadil (VAR) yang memilih untuk tidak membatalkannya walaupun beranggapan Giacomo Bonaventura berada dalam keadaan ofsaid.



Bercakap selepas perlawanan, Marino memberitahu Sport Mediaset: "Saya hanya boleh mengucapkan tahniah kepada Fiorentina dan akur dengan apa yang berlaku. Dalam sesetengah perlawanan, anda dapat rasakan bahawa ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar tetapi tiada apa yang boleh dilakukan.

“Fiorentina nampaknya sentiasa dihadiahkan sepakan penalti ketika berjumpa kami. Saya tidak pasti adakah ia adalah satu keputusan yang tepat atau tidak, tetapi ia adalah gol ketiga perlawanan dan kami sedang menghadapi masalah yang serius.

"Merih Demiral memberitahu saya bahawa dia tidak melakukan sebarang kesalahan hingga melepaskan sepakan percuma yang membawa kepada gol kemenangan pihak lawan itu.

"Saya juga perlu bertanya adakah sentuhan Marten de Roon pula sudah cukup untuk menjadikan Bonaventura tidak ofsaid, kalau begitu maka jelaslah secara keseluruhannya saya tidak memahami apa-apa tentang bola sepak.

“Kesilapan boleh berlaku walaupun dengan VAR, malangnya ia berlaku terlalu kerap termasuk dalam Serie A. Kegagalan mengesan ofsaid seperti itu pada pandangan saya adalah satu kesilapan yang serius.

“Memang mengecewakan untuk terlepas separuh akhir kerana insiden seperti itu berlaku pada minit ke-93. Ia adalah kesilapan yang serius, saya ulanginya tetapi kesilapan adalah sebahagian daripada sukan.

"Kami hanya perlu menelannya dan teruskan hidup."