VALENCIA 1 ATHLETIC 0
(Valencia mara dengan agregat 2-1)

Jose Bordalas mendedikasikan kemenangan Valencia ke atas Athletic Bilbao dalam separuh akhir Copa del Rey awal pagi tadi kepada peminat luar biasa kelab itu.


Gol menarik daripada Goncalo Guedes mengesahkan kemenangan 1-0 di Mestalla itu, sekali gus membawa Valencia ke final buat kali kedua dalam tempoh empat musim menerusi agregat 2-1.

Athletic, yang tewas dalam dua perlawanan akhir edisi lalu, hanya mampu mengatur satu percubaan tepat sepanjang pertembungan itu sementara pasukan tuan rumah yang menerima sokongan padu memastikan mereka selesa di hadapan.

Valencia hanya menang lapan kali daripada 26 perlawanan LaLiga di bawah kendalian Bordalas musim ini tetapi kini perlu bersiap untuk menantikan tentangan Real Betis atau Rayo Vallecano bagi memastikan kejuaraan, seterusnya layak ke Liga Europa.

“Ia satu perasaan yang sangat hebat, kepuasan yang luar biasa,” kata bekas pengurus Getafe itu.





"Ia tentang sama ada kami berjaya ke final atau tidak. Pasukan lawan sukar menembusi kami dan kami memuktamadkan kemenangan ini dengan cara yang luar biasa. Kami memang layak dalam perlawanan separuh akhir ini. Kami ke final atas usaha sendiri.

"Peminat dan gelanggang ini cukup luar biasa. Saya sentiasa mahu menguruskan Valencia dan kejayaan layak ke final akan menawarkan banyak keyakinan selain menyatukan kami.

“Saya sangat terkejut sebaik tiba di sini. Saya tidak dapat menjelaskannya. Saya pernah mengalami detik-detik serupa tetapi bukan seperti ini.

"Penyokong memang layak untuk menikmati kejayaan ini. Di atas padang, saya tidak dapat berkomunikasi dengan pemain kerana segala-galanya bergegar.

"Ia memberikan kami kekuatan dan tenaga yang luar biasa."