Diego Simeone telah mengadakan perbincangan dengan Luis Suarez dalam usaha Atletico Madrid untuk cuba memulihkan sentuhan bekas penyerang Barcelona itu.

Tonggak antarabangsa Uruguay itu merupakan penjaring paling berbisa buat Atletico pada musim ini biarpun sekadar mencetak sembilan gol daripada 27 penampilan.

Malah, pemain berusia 34 tahun itu -- yang kontraknya di Wanda Metropolitano bakal berakhir di penghujung kempen ini -- hanya meledak sekali dalam 11 perlawanan terakhir.

Kekecewaan Suarez terserlah apabila dia digantikan ketika mereka tumpas di Sevilla bulan lalu yang menyaksikan bekas penyerang Liverpool itu kelihatan memaki hamun Simeone.

Dengan tindakannya itu selain berdepan masa depan yang tidak menentu, pengurus Atleti tersebut mendedahkan sebelum itu mereka telah mengadakan pertemuan empat mata.




Menjelang pertembungan Copa del Rey membabitkan Atletico dengan Real Sociedad, awal pagi esok, Simeone berkata: "Kita telah bercakap tentang Luis sepanjang dua bulan ini, mengenai betapa pentingnya dia buat kami.

"Apa yang saya fikirkan terhadapnya, dia tahu mengenainya. Walaupun saya tidak bercakap dengannya (selepas insiden) di Sevilla, tetapi kami pernah berbincang selama dua bulan."

Suarez telah menyumbangkan 30 gol sejak perpindahan daripada Barcelona pada September 2020 yang merupakan jumlah terbanyak dalam kem Atletico ketika ini. Hanya Karim Benzema (54) dan Gerard Moreno (41) merupakan bintang yang berpangkalan di Sepanyol yang menjaringkan lebih kerap daripadanya.