Melangkah ke separuh akhir Copa del Rey tidak boleh menjadi "malam terpenting" buat Real Betis, kata Manuel Pellegrini.

Betis layak ke separuh akhir selepas menewaskan Real Sociedad 4-0 di Reale Arena awal pagi tadi, di mana Juanmi menjaringkan dua gol sebelum Willian Jose dan Aitor Ruibal turut mencatatkan nama selaku penjaring pada lewat permainan.

Pasukan bimbingan Pellegrini itu telah menjaringkan empat gol dalam kesemua tiga perlawanan terakhir, di mana kemenangan ke atas La Real itu merupakan yang terbesar pernah mereka lakukan ke atas pasukan dari LaLiga dalam saingan Copa del Rey.

Jurulatih berbangsa Chile itu berpuas hati dengan peningkatan pasukannya, yang terkandas di peringkat suku akhir tahun lalu, tetapi menginginkan sesuatu yang lebih besar memandangkan tiada penglibatan Barcelona, Real Madrid dan Atletico Madrid dalam separuh akhir musim ini.

"Saya amat gembira kami layak ke separuh akhir Copa.

"Apabila anda menang, anda perlu meraikannya dengan dengan kesederhanaan yang bersesuaian.

"Ia sudah menjadi pencapaian yang baik berbanding musim lalu, di mana kami tersingkir menerusi penentuan sepakan penalti dalam suku akhir.

"Dinamiknya positif. Kami menjaringkan empat gol dalam tiga perlawanan terakhir, mencipta peluang tetapi pasukan ini beraksi telah konsisten sejak Januari tahun lalu," katanya.