Copa del Rey: Real Betis ke final bertemu Valencia

Shaiful Shamsudin
Mac 4, 2022 03:24 MYT
REAL BETIS 1 VALENCIA 1
(Betis mara dengan agregat 3-2)
Joaquin menyifatkan perlawanan akhir Copa del Rey akan datang sebagai "perkara terindah" selepas dia membantu Real Betis menempah pertemuan dengan bekas kelabnya, Valencia.
Skuad bimbingan Manuel Pellegrini itu seri 1-1 dengan Rayo Vallecano dalam aksi kedua separuh akhir, awal pagi tadi, untuk mara ke final Copa del Rey buat kelima menerusi agregat 3-2.
Sepakan percuma yang mengagumkan daripada Bebe hampir mengheret perlawanan ke masa tambahan tetapi jaringan Borja Iglesias pada masa kecederaan dalam satu gerakan yang turut membabitkan pemain gantian, Joaquin, yang membuat hantaran lolos kepada Sergio Canales.
Semalam, Valencia mengesahkan tempat mereka ke final menerusi jaringan tunggal Goncalo Guedes untuk memastikan kemenangan 1-0 ke atas Athletic Bilbao dan mara dengan agregat 2-1.
Joaquin, yang akan berusia 41 tahun pada Julai tahun ini, berharap untuk memenangi piala itu buat kali ketiga dalam kariernya selepas melakukannya bersama Betis pada 2005 dan Valencia, tiga tahun kemudian.
Ketika ditanya tentang prospek berdepan bekas majikannya, Joaquin berkata: "Ia sesuatu yang indah.
"Kami akan berseronok kerana kami sememangnya berhak. Kami menghadapi satu lagi perlawanan yang sukar (bertemu Atletico Madrid pada Isnin depan) bagi menghidupkan impian ke Liga Juara-Juara.
"Saya pernah memenangi Copa bersama Betis dan satu lagi dengan Valencia, malah saya turut beraksi dalam perlawanan akhir bersama Fiorentina (dalam Coppa Italia pada 2014)."
Baik anggota pasukan dan penyokong kelab itu berpesta di dalam mahupun di luar gelanggang keramat mereka, Benito Villamarin, dan Joaquin berjanji dia juga akan menyertai sebaik dia pulang bertemu keluarganya.
"Saya tidak akan keluar hari ini," katanya.
"Isteri saya sempat berpesan: 'saya akan tunggu awak' jadi saya akan pulang ke rumah dulu untuk menukar pakaian. Jika kami masih meraikannya di sini maka saya perlu memakai pakaian sukan Betis untuk ke pesta ini!
"Tetapi saya mahu melihat isteri dan anak perempuan saya yang turut menderita seperti yang dialami semua peminat Betis dan saya. Kami amat gembira."