Karim Benzema terpaksa diketepikan daripada skuad Real Madrid bagi perlawanan suku akhir Copa del Rey menentang Athletic Bilbao awal pagi esok gara-gara kecederaan paha.

Tahap kecergasan bintang Perancis itu menimbulkan kebimbangan sejak dia kelihatan terhincut-hincut ketika dikeluarkan dalam separuh masa kedua perlawanan menentang Elche pada 23 Januari lalu -- Madrid diikat 2-2 dalam perlawanan itu.

Dalam sidang media sebelum perlawanan menentang Athletic semalam, ketua jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti, berharap penyerang itu -- yang mempamerkan aksi terbaiknya sepanjang musim ini dengan 24 gol daripada 28 perlawanan dalam kesemua kejohanan -- akan sempat cergas sebelum kunjungan ke San Mames tetapi menegaskan tiada sebarang risiko akan diambil.

Bagaimanapun, pasukan itu kemudian mengesahkan bahawa Benzema tidak disenaraikan selaku 22 pemain mereka untuk menentang Athletic bagi memberikan peluang untuk dia pulih sepenuhnya menjelang perlawanan pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menenang Paris Saint-Germain (PSG) dua minggu depan.

Mariano Diaz dan Ferland Mendy turut diketepikan kerana kecederaan manakala Marcelo tidak dapat beraksi gara-gara penggantungan.

Bagiamanapun, Marco Asensio kembali tersenarai selepas pulih daripada kecederaan paha yang dialaminya sewaktu aksi Supercopa de Espana menentang Barcelona.