LINARES DEPORTIVO 1 BARCELONA 2

Barcelona terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk mengelak daripada dikejutkan kelab divisyen tiga, Linares Deportivo, sekali gus mencatatkan kemenangan 2-1 dalam perlawanan Copa del Rey awal pagi tadi.

Pasukan dari divisyen tiga, Linares, melakar kejutan apabila mendahului seawal minit ke-19 hasil jaringan Hugo Diaz.

Bagaimanapun, jurang kualiti jelas kelihatan dalam babak kedua, di mana pasukan bimbingan Xavi berkenaan menjaringkan dua gol pantas dalam masa enam minit untuk memenangi perlawanan itu.

Ousmane Dembele menyamakan kedudukan pada minit ke-63 dengan melepaskan rembatan jarak jauh yang menewaskan penjaga gol, Brimah Razak, sebelum gerakan individu Ferran Jutgla memastikan Barcelona ke pusingan 16 dengan gol kemenangannya pada minit ke-69.

Apa yang lebih menarik, perlawanan itu turut menyaksikan kepulangan Dani Alves dalam seragam Barcelona, di mana pertahanan sayap itu disenaraikan sebagai kesebelasan utama selepas kembali menyertai Blaugrana daripada Sao Paulo secara perpindahan percuma pada November lalu.