ALAVES 1 CELTA VIGO 0
(Alaves mara dengan agregat 1-0)

Jurulatih Alaves, Mauricio Pellegrino, berterima kasih di atas 'hadiah' yang diberikan anak buahnya apabila melakar sejarah baru menerusi kemaraan ke pentas akhir Copa del Rey dengan menundukkan Celta Vigo 1-0, awal pagi tadi.

Keputusan seri 0-0 di Vigo minggu lalu menjadikan pertemuan kedua separuh akhir di Vitoria kali ini bertambah menarik dan Alaves lolos menerusi kemenangan tipis.

Pemain yang dimasukkan pada separuh masa kedua, Edgar Mendez, memecah kebuntuan lapan minit sebelum tamat masa sebenar permainan.

Alaves mempertahankan kedudukan itu untuk meraih kejayaan terbesar mereka sejak kali terakhir tampil dalam perlawanan akhir Piala UEFA pada 2001, yang menyaksikan mereka tewas kepada Liverpool.

"Saya berasa cukup puas dengan apa yang dipamerkan anak buah saya," kata Pellegrino kepada pemberita.

"Perlawanan akhir adalah hadiah buat pasukan memandangkan ini merupakan tahun pertama kami dalam saingan LaLiga selepas beberapa tahun terdampar (di divisyen bawahan).

"Saya juga amat berterima kasih kepada kakitangan di belakang pasukan ini. Situasi ini membolehkan seluruh pasukan memberi tumpuan untuk kempen liga agar setiap pemain sentiasa bersedia apabila tibanya perlawanan akhir nanti."

Alaves bakal berdepan Barcelona sebagai halangan terakhir untuk merangkul trofi utama sulung mereka dan secara tidak langsung, membuka peluang buat Pellegrino untuk bersemuka dengan jurulatih yang begitu dikaguminya, Luis Enrique.

"Dia berjasa besar ketika saya tiba di Sepanyol dan saya masih menyimpan kenangan kami," katanya.

"Di atas padang, kami akan bersaing tetapi secara peribadinya, saya amat menghargainya.

"Ia akan menjadi sebuah perlawanan yang sukar dan kami akan mula memikirkannya esok.

"Kami akan berdepan sebuah pasukan antara yang terbaik di dunia dan kami akan memastikan semua pemain cergas untuk menghadapi perlawanan itu."