Alexis Sanchez perlu kerap beraksi, tidak kiralah sama ada di Manchester United atau di tempat lain, kata pemain tersohor Chile, Ivan Zamorano.

Sanchez meninggalkan Arsenal untuk menyertai United pada Januari 2018, namun bergelut untuk menyerlahkan aksi terbaiknya di Old Trafford yang menyaksikannya hanya tampil dalam sembilan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, serta menjaringkan sekadar satu gol.

Namun, ia cerita berbeza ketika ini apabila pemain berusia 30 tahun itu terus mempamerkan sentuhan berbisa ketika bersama Chile dan setakat ini sudah mengumpul dua gol dalam Copa America 2019.

Namun, Zamorano percaya aksi berkarat di peringkat kelab masih jelas dalam rentak permainannya ketika membenam Jepun dan Ecuador.

Justeru, legenda Inter itu menuntut Sanchez, yang dikaitkan akan ke Juventus, mengenai keperluan menjadi tonggak kesebelasan utama.

"Apa yang terbaik untuk (Sanchez) adalah kekerapan beraksi -- pergilah ke mana-mana sahaja, sama ada di Manchester United atau mana-mana pasukan sekalipun," Zamorano memberitahu Omnisport.

"Apa yang penting, dia perlu sentiasa beraksi. Saya bercakap melalui pengalaman. Kadang-kadang apabila anda berada di luar negara dan tidak beraksi, adalah sukar untuk mengembalikan prestasi terbaik.

"Kami pernah melihatnya. Alexis tidak bermain di Manchester sejak sekian lama tetapi sebaik dia menyarung jersi Chile, dia menjadi pemain yang berbeza.

"Saya tidak kisah situasi anda di kelab, cuma saya berharap ketika anda mewakili Chile, anda berikan yang terbaik dan itulah yang dilakukan Alexis.

"Saya sangat gembira melihatnya kembali ke prestasi sebenar dan melihatnya sebagai sebahagian pemain penting untuk Chile, sebagai protagonis di Amerika Selatan sekali lagi."