ARGENTINA 1 CHILE 1

Gol sepakan percuma Lionel Messi masih belum cukup untuk memastikan kemenangan Argentina dalam pembukaan kempen Copa America apabila penyerang Chile, Eduardo Vargas, menjaringkan gol penyamaan untuk perlawanan Kumpulan A di Estadio Nilton Santos itu berakhir 1-1 di awal pagi tadi.

Argentina jelas pasukan yang lebih baik dalam babak pertama dan ketua pasukan, Messi, meletakkan mereka di depan menerusi sepakan percuma melencong yang menuju tepat ke penjuru kanan atas gawang lawan pada minit ke-33.

Bagaimanapun, Vargas muncul penyelamat Chile dalam separuh masa berikutnya dengan menanduk masuk bola muntah susulan sepakan penalti Arturo Vidal yang ditampan penjaga gol, Emiliano Martinez.

Nicolas Gonzalez mensia-siakan deretan peluang dalam perlawanan itu, antaranya menerusi tandukannya yang tersasar susulan menerima hantaran kapten, Messi, pada penghujung permainan untuk Argentina terlepas kemenangan pertama dalam perlawanan di Rio de Janeiro itu.

Messi masih belum memenangi sebarang trofi bersama Argentina susulan menamatkan kempen sebagai naib juara Copa Amerika edisi 2015 dan 2016 selepas kecundang di tangan Brazil dalam final pada 2007.