Pemain Uruguay, Lucas Torreira, dijangka cergas untuk berdepan Peru menjelang saingan suku akhir Copa America, awal pagi esok.

Pemain tengah Arsenal itu kembali menyertai rakan sepasukan dalam sesi latihan di El Salvador setelah mengalami masalah kesihatan sehingga muntah dan mengalami penurunan berat badan.

Torreira, 23, tidak bersama pasukan sewaktu Uruguay menundukkan Chile 1-0 bagi membolehkan mereka menamatkan Kumpulan C selaku juara dengan tujuh mata.

Jaringan saat-saat akhir oleh Edinson Cavani memastikan tiga mata dan juara edisi 2011 itu kekal tanpa kalah setelah membelasah Ecuador 4-0 dan seri 2-2 ketika bertemu Jepun sebelum itu.

"Kini saya dapat berlatih seperti biasa bersama pasukan dan saya rasa lebih bagus," katanya.

"Saya terbaring di katil selama dua hari akibat demam, sakit kepala dan muntah. Kini saya semakin pulih.

"Saya kehilangan hampir tiga kilogram dan ia adalah hari-hari sukar tetapi saya rasa lebih baik. Saya fikir dapat mempersiapkan diri bagi aksi awal pagi esok."

Kembalinya Torreira menyaksikan barisan tengah Uruguay menerima suntikan selepas Matias Vecino terpaksa disingkirkan daripada kejohanan akibat kecederaan paha.

Rodrigo Bentancur dan pemain Real Madrid, Federico Valverde, akan meneruskan gandingan sambil kelibat Nahitan Nandez memberikan pengendali, Oscar Tabarez, lebih banyak pilihan menjelang pertemuan dengan lawan yang bakal memberikan cabaran getir itu.

Peru menarik perhatian menerusi kemenangan dalam Piala Dunia tahun lalu dan mengutip empat mata daripada dua aksi awal Copa America kali ini.

Namun, rentak itu hilang selepas dimalukan Brazil 5-0 dan laporan tempatan mendedahkan pengurus pasukan, Ricardo Gareca, bertarung dengan jawatannya sekiranya The Blanquirroja gagal ke separuh akhir.

"Selepas keputusan sebegini, anda perlu fikirkan banyak perkara," ujar pengendali berusia 61 tahun itu.