Lionel Scaloni berharap keyakinan Argentina semakin memuncak selepas meraih kemenangan ke atas Qatar menjelang pertemuan suku akhir Copa America 2019 dengan Venezuela, awal pagi esok.

Jaringan Lautaro Martinez dan Sergio Aguero membantu Argentina menundukkan juara Asia 2019 itu untuk menempah slot suku akhir dengan Venezuela di Maracana, Brazil.

Scaloni berharap kemenangan itu akan memulihkan keyakinan barisan pemainnya, seterusnya akan membawa mereka ke separuh akhir.

"Kami dalam keadaan baik kerana kami baru sahaja meraih kemenangan yang mencetuskan emosi," katanya dalam sidang akhbar, semalam.

"Ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar tetapi kami yakin."

Argentina mempunyai rekod baik ke atas Venezuela dalam Copa America apabila memenangi lima pertemuan lalu dengan menghasilkan 28 jaringan selain hanya melepaskan tiga gol.

Namun, jurulatih itu menjangkakan pasukannya akan berdepan cabaran getir Venezuela yang tidak kalah dalam saingan Kumpulan A.

"Bola sepak telah berkembang," katanya.

"Kini, setiap pasukan yang kami hadapi adalah sukar."