Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, memuji Lionel Messi sebagai "pemain terbaik sepanjang zaman" selepas bintang La Albiceleste itu menjaringkan satu gol dan mencetus dua jaringan lain ketika menewaskan Ecuador 3-0 dalam suku akhir Copa America hari ini.

Messi muncul arkitek pasukannya untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir Copa America, di mana mereka akan menentang Colombia di Brasilia, Rabu ini.

Pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or itu membantu jaringan pembukaan Rodrigo De Paul pada minit ke-40 sebelum turut melakukan perkara sama ketika Lautaro Martinez menemui sasaran pada minit ke-85.

Messi kemudian menjaringkan satu gol dalam waktu kecederaan menerusi sepakan percumanya untuk kini merekodkan 76 gol daripada 149 penampilan bersama Argentina.

"Permainan Leo, saya sejujurnya tidak tahu adakah dia akan penat menerima pujian hari ini," kata Scaloni dalam sidang media selepas perlawanan itu.

"Perkara terbaik buat kita sebagai peminat bola sepak adalah melihat bintang seperti ini terus bermain sehingga tahap umur yang mereka mampu dan kita menikmatinya.

"Messi merupakan satu kegembiraan, termasuk buat pemain lawan ketika mereka berdepannya. Kita sedang bercakap mengenai pemain terbaik sepanjang zaman.

"Amat sukar untuk seorang pemain berada di tahapnya. Neymar pada satu ketika akan menjadi pemain seperti itu tetapi dengan apa yang telah dilakukannya dan akan terus dilakukannya, kita perlu memperingatinya sebagai dirinya sendiri," katanya.