James Rodriguez menyasarkan kemenangan ke atas Paraguay dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan B bagi mengekalkan momentum untuk aksi kalah mati saingan Copa America.

Juara 2001 itu telah memastikan slot suku akhir selepas merakamkan kemenangan 2-0 ke atas Argentina dalam perlawanan pembukaan di samping mengatasi Qatar 1-0 sebelum ini.

Duvan Zapata meledak gol tunggal ketika mengatasi juara Asia itu bagi memastikan Colombia mengumpul enam mata menjelang aksi terakhir berdepan Paraguay, yang ketinggalan empat mata di tempat kedua selepas merekodkan dua keputusan seri.

Pengendali pasukan, Carlos Queiroz, berpeluang untuk merehatkan barisan utama daripada beraksi di Arena Fonte Nova selepas mengetahui mereka tidak mampu dikejar oleh Qatar dan Argentina.

Tetapi James mengakui perjalanan Colombia masih lagi jauh dan mereka sudah mula mencongak perhitungan dengan Chile, Uruguay atau Jepun.

"Kami berada di landasan tepat tetapi perjalanan masih jauh lagi untuk mencapai sasaran," katanya.

Paraguay kecewa kerana sekadar seri dengan Argentina apabila sepakan penalti Derlis Gonzalez dinafikan Franco Armani ketika perlawanan terikat 1-1.

"Kami kehilangan dua mata berharga," kata pengendali Paraguay, Eduardo Berizzo.

La Albirroja tanpa sebarang kemenangan dalam sembilan perlawanan Copa America dan hanya menang sekali dalam 19 perlawanan terakhir -- rekod yang menyaksikan mereka sukar untuk layak ke pusingan seterusnya.