Jurulatih Colombia, Carlos Queiroz, melontarkan amaran kepada juara bertahan, Chile, menjelang suku akhir Copa America 2019 di Sao Paulo, 7 pagi esok (waktu Malaysia).

Colombia menyerlah dalam kempen di Brazil dan muncul satu-satunya negara yang memenangi ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Mereka melakukannya tanpa melepaskan sebarang gol, sekali gus menyuntik keyakinan barisan pertahanan untuk menghadapi Chile yang mengungguli dua kempen terakhir.

Queiroz yakin masih banyak yang boleh ditawarkan pasukannya dan dalam masa yang sama, mereka kekal bersungguh-sungguh.

"Corak permainan kami masih jauh daripada yang kami harapkan," katanya menjelang pertembungan itu.

Bercakap mengenai pilihan dalam skuadnya, Queiroz menambah: "Percaturan memilih pemain membuatkan saya sakit kepala!"

Salah satu perubahan yang mungkin dipertimbangkan pengendali itu adalah dengan merehatkan penyerang berpengalaman, Radamel Falcao, yang tumpul dalam kempen ini.

Duvan Zapata -- yang masih segar daripada kejayaan menjaringkan 23 gol bersama Atalanta dalam kancah Serie A -- pula telah menyumbat dua gol.

Ini suku akhir keempat berturut-turut Colombia tetapi mereka gagal menghasilkan jaringan dalam tiga aksi terakhir di peringkat itu.

Chile memenuhi syarat untuk rentetan suku akhir kelima dan jurulatih, Reinaldo Rueda, pasti akan memanfaatkan pengalaman luasnya dalam kancah bola sepak Colombia.

Rueda yang dilahirkan di Cali bukan saja pernah mengendalikan pelbagai kelab di Colombia, malah sempat mengemudi pasukan kebangsaannya itu dari 2004 hingga 2006.

Rueda mengambil alih tugas di Chile sejak Januari tahun lalu selepas negara itu gagal menyinar dalam Piala Dunia 2018.

Dalam edisi kali ini, dia mengetuai pasukannya untuk meraih kemenangan ke atas Jepun dan Ecuador sebelum merehatkan Arturo Vidal, Mauricio Isla dan Jean Beausejour yang berdepan penggantungan sempena pertembungan dengan Uruguay yang menyebabkan mereka tumpas 0-1.

Sejarah pertemuan memihak kepada Chile yang tiga kali menundukkan Colombia dalam aksi kalah mati Copa America.

Kejayaan itu termasuklah kemenangan 2-0 Chile dalam separuh akhir 2016 yang menyaksikan Charles Aranguiz dan Jose Pedro Fuenzalida meledak gol dalam tempoh 11 minit pertama.