Paraguay tidak pernah menewaskan Uruguay dalam Copa America sejak 1947 tetapi pasukan La Albirroja itu kini mempunyai momentum menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Rio, Selasa ini.

Ketika Uruguay masih bergelut mencari prestasi terbaik dalam edisi kali ini, Paraguay pula telah mengumpulkan enam mata daripada tiga perlawanan pertama Kumpulan A.

Mereka menewaskan Chile 2-0 minggu lalu untuk mengesahkan tempat dalam suku akhir, tiga hari selepas Uruguay memerlukan gol sendiri Arturo Vidal untuk mengikat lawan sama itu 1-1.

Dengan turut menewaskan Bolivia dalam perlawanan pembukaan, Paraguay kini berada dalam keyakinan tinggi untuk menamatkan kemarau kemenangan mereka ke atas Uruguay.

Ketua jurulatih, Eduardo Berizzo, berkata dia menjangkakan satu lagi cabaran sukar daripada Uruguay, sama seperti ketika kedua-dua pasukan itu terikat tanpa jaringan dalam pusingan kelayakan Piala Dunia di Montevideo awal bulan ini.

"Uruguay pasukan yang kuat, sukar, kami saling bertemu dalam pusingan kelayakan baru-baru ini.

"Ia perlawanan dengan penuh aspek fizikal dan taktikal dan sudah pasti perkara sama akan menanti kami.

"Kami akan turun untuk menang seperti biasa," katanya.