Nicolas Otamendi memuji persembahan Argentina yang bergelut ketika permulaan saingan Copa America 2019 sebelum mengesahkan slot separuh akhir berdepan seteru utama dan tuan rumah, Brazil.

Jaringan hebat di awal perlawanan daripada Lautaro Martinez serta gol kedua oleh pemain gantian, Giovanni Lo Celso, ketika aksi berbaki 16 minit membolehkan Argentina mengatasi Venezuela di Maracana, stadium sama di mana skuad La Albiceleste itu ditewaskan Jerman dalam aksi final Piala Dunia, lima tahun lalu.

Persembahan terbaik daripada anak buah Lionel Scaloni itu membolehkan mereka menempah tiket pertemuan dengan tuan rumah di Belo Horizonte Selasa depan dan Otamendi memuji peningkatan pasukannya berbanding ketika aksi peringkat kumpulan.

"Kami tahu ia akan sukar ketika di permulaan. Ia memerlukan masa dan kami menjadi semakin baik," katanya.

"Kini, kami dalam separuh akhir menentang lawan dalam aksi 'clasico' dan kami berharap dapat meneruskan cabaran buat Argentina."

Otamendi mempamerkan aksi hebat dalam memperoleh setiap perebutan dengan penggempur Venezuela Salomon Rondon, tatkala barisan bawah Argentina menunjukkan kelonggaran sebelum itu.

"Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang tegang, sukar dan sengit," tambahnya.

"Apa yang penting adalah mengekalkan disiplin memandangkan lawan memiliki pemain yang kuat seperti Rondon.

"Kami mengawal permainan dengan baik hampir sepanjang perlawanan. Mungkin lawan memperoleh peluang menerusi beberapa situasi bola mati.

"Jaringan dalam babak kedua memberikan kami keselesaan. Kami menyerang dan tahu bagaimana untuk mengawal perlawanan. Ia kemenangan hebat buat kami."