Argentina berazam untuk tidak membenarkan Ecuador merakamkan kemenangan menjelang pertemuan dalam suku akhir Copa America.

Pertahanan berpengalaman, Nicolas Otamendi, berkata Argentina, akan mencari jalan untuk membantu jentera serangan, yang dibarisi Lionel Messi dan Lautaro Martinez, dengan memastikan tiada jaringan dibolosi ketika bertemu Ecuador.

Selepas menghuni tangga teratas Kumpulan A, meraih tiga kemenangan dan satu seri dalam empat perlawanan, Ecuador pula meraih tiga seri dan satu kekalahan dalam Kumpulan B yang dimenangi Brazil.

Seri 1-1 dengan Brazil di Goiania sebelum ini membawa Ecuador ke pusingan kalah mati, dan ia akan mengejutkan jika mereka menewaskan Argentina.

Bagaimanapun, pertembungan suku akhir juga dimainkan di Goiania, di Estadio Olimpico Pedro Ludovico di mana Ecuador menjinakkan Selecao.

Otamendi, bekas bintang Manchester City yang kini beraksi bersama Benfica, berkata: "Kekukuhan pertahanan memberi anda serangan yang lebih baik. Dengan potensi jentera serangan yang kami miliki, penting untuk memberi mereka keselamatan agar mereka dapat menyerang dengan tenang.

"Kami harus berusaha untuk bertahan agar dapat memanfaatkan potensi dalam gerakan daripada bahagian tengah dan ke hadapan.

Otamendi berkata lagi, "Jersi ini menuntut komitmen dan memenangi kejohanan. Anda selalu mahu melakukan sesuatu untuk negara anda. Kami berusaha sedaya upaya untuk maju."

Kali terakhir Argentina memenangi Copa America pada 1993 dan ketua jurulatih, Lionel Scaloni, memberitahu bahawa Giovani Lo Celso dijangka turun dalam perlawanan esok.

"Ecuador adalah pesaing dengan memiliki darjah kesukaran yang tinggi," katanya. "Kami mesti menghormati mereka dan beraksi dengan penuh merendah diri. Ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar."

"Setiap perlawanan adalah berbeza dan setiap pasukan memiliki pendekatan yang berbeza. Kami akan berusaha untuk mengawal permainan dengan sebaik mungkin dan mengurangkan kesilapan sepanjang permainan."