Neymar akan melupakan persahabatannya dengan bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Lionel Messi, demi memburu kejuaran Copa America pertamanya bersama Brazil menjelang final hujung minggu ini.

Brazil akan berdepan Argentina dalam penentuan gelaran Copa America 2021 di Maracana, Rio de Janeiro, dengan kedua-dua pemain berkenaan akan memburu gelaran peringkat benua pertama mereka.

Messi tidak pernah memenangi Copa America bersama Argentina sejak kali terakhir negara itu muncul juara pada 1993 manakala Neymar pula tercedera dan tidak menjadi sebahagian daripada skuad Brazil ketika menjuarai kejohanan itu pada 2019.

Kedua-dua pemain itu mempunyai hubungan akrab sepanjang empat tahun Neymar di Barcelona dan terus mencuri tumpuan dalam Copa edisi ini.

Messi mendahului senarai dengan menghasilkan empat gol dan lima bantuan jaringan buat Argentina manakala Neymar pula menyumbangkan dua gol dan tiga bantuan jaringan buat tuan rumah, Brazil.

"Messi merupakan -- seperti yang selalu saya katakan -- pemain terbaik yang pernah saya lihat dan teman yang amat baik," kata Neymar.

"Tetapi kami kini berada dalam final, kami adalah seteru. Saya mahu menang dan saya benar-benar mahu memenangi gelaran ini, di mana ia akan menjadi gelaran Copa America pertama saya.

"Messi sudah sekian lama memburu kejuaraan pertamanya bersama pasukan kebangsaannya dan setiap kali kami (Brazil) tidak bersaing dalam mana-mana kejohanan, saya akan menyokongnya.

"Itulah yang saya lakukan ketika Piala Dunia 2014, di mana dia menentang Jerman.

"Kini ia tentang Brazil, jadi persahabatan kami dalam bahaya (sambil ketawa). Rasa hormat sesama kami masih hebat tetapi hanya akan ada seorang pemenang," katanya.

Neymar menambah: "Apabila anda berkawan dengan seseorang, amat sukar untuk melupakan persahabatan yang anda ada... tetapi sebagai contoh, apabila anda bermain permainan video dengan rakan, anda tetap mahu menewaskan mereka. Ia akan menjadi sesuatu yang sama seperti itu hujung minggu ini."