Lionel Messi bergelut untuk memahami bagaimana Argentina berada dalam situasi berdepan penyingkiran menjelang persiapan berdepan Qatar dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, awal pagi esok.

Argentina, yang tewas kepada Colombia dalam perlawanan pertama sementara sekadar seri dengan Paraguay, berada di kedudukan tercorot, namun hanya dibezakan dengan bilangan jaringan dengan penghuni tangga ketiga, Qatar.

La Albiceleste berada dalam situasi sukar sejak 12 bulan lalu, mengharungi Piala Dunia yang mengecewakan di bawah pimpinan Jorge Sampaoli, kemudian tiada impak yang besar selepas Lionel Scaloni mengambil alih sebagai ketua jurulatih.

Messi berharap Argentina melepasi peringkat kumpulan dengan sasaran untuk menamatkan saingan di tempat ketiga sudah mencukupi.

"Kami perlu positif dan yakin dengan kebolehan pasukan," kata Messi. "Kami perlu perbaiki dan menampilkan permainan terbaik dalam perlawanan seterusnya. Kami perlu menang.

"Sukar untuk menerima hakikat jika gagal melepasi peringkat kumpulan selepas tiga pasukan layak ke pusingan berikutnya.

"Kami menyedari Copa America bukan saingan yang mudah.

"Venezuela telah menyukarkan Brazil dalam perlawanan sebelum ini. Kami belum meraih kemenangan dan berdepan Qatar, kami harus meraih tiga mata.

Pasukan jemputan, Qatar, telah menampilkan persembahan mantap setakat ini, dengan juara Asia 2019 itu seri 2-2 dengan Paraguay dan hanya tewas 1-0 kepada Colombia, salah satu pasukan pilihan muncul juara.

Pertahanan Qatar, Tarek Salman, berbangga dengan persembahan pasukan ketika berdepan Colombia tetapi berharap untuk tidak mengulangi kesilapan ketika berdepan Argentina.

"Kami berbangga dengan persembahan berdepan Colombia. Kami berharap untuk menampilkan aksi terbaik berdepan Argentina," katanya.

"Qatar berhak seri dengan Colombia. Kami memiliki beberapa peluang tetapi mereka menampilkan permainan yang terbaik."