ARGENTINA 1 URUGUAY 0

Lionel Messi membantu kemenangan 1-0 Argentina ke atas seteru tradisi, Uruguay, dalam perlawanan Copa America di Brasilia hari ini.

Argentina, yang tidak pernah menjuarai Copa America sejak 1993, terikat 1-1 dengan Chile dalam perlawanan pembukaan mereka tetapi memastikan tiga mata penuh ke atas Uruguay hasil gol peringkat antarabangsa pertama Guido Rodriguez pada minit ke-13.

Messi mencetuskan jaringan buat naib juara 14 kali Copa Amerika, La Albiceleste -- finalis yang tewas dalam edisi 2015 dan 2016 -- menerusi hantaran lintangnya dari sebelah kiri yang menemui pemain tengah Real Betis, Rodriguez, untuk menjaringkan gol kemenangan itu, sekali gus menamatkan rekod tiga keputusan seri berturut-turut dan melebarkan rekod tanpa kalah kepada 15 perlawanan buat Argentina.

Uruguay, yang turun beraksi buat kali pertama dalam edisi kali ini, dikecewakan dengan aksi kukuh Argentina, lebih-lebih lagi apabila tidak diberikan sepakan penalti dalam babak pertama.

Pada minit ke-27, Rodriguez kelihatan menjatuhkan Edinson Cavani dalam kawasan penalti tetapi sentuhan ringan yang dilakukannya itu tidak menarik perhatian pengadil.

Seterusnya, Aregntina akan menghadapi Paraguay, Selasa ini manakala Uruguay pula akan bertemu Chile pada hari yang sama.