ECUADOR 2 PERU 2

Peru bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Ecuador 2-2 dalam perlawanan Copa America hari ini.

Ecuador jelas mengasai perlawanan Kumpulan B menentang Peru itu dan berada 2-0 di depan menjelang separuh masa di Goiania.

Gol sendiri Renato Tapia membolehkan Ecuador mendahului pada minit ke-23 sebelum Eduar Preciado menggandakan kelebihan itu dalam masa kecederaan babak pertama.

Peru -- naib juara edisi 2019 -- turun ke perlawanan itu dengan menyedari bahawa kemenangan akan memastikan kemaraan mereka ke suku akhir Copa America.

Bekas penyerang AC Milan, Gianluca Lapadula, menginspirasikan kebangkitan Peru menerusi gol gemilangnya kurang lima minit selepas perlawanan bersambung.

Lapadula menjaringkan gol antarabangsa pertamanya pada minit ke-49 untuk menghidupkan harapan Peru -- satu-satunya pasukan yang sentiasa layak melepasi peringkat kumpulan Copa America sejak 1997.

Pemain Benevento kelahiran Itali itu kemudian membantu jaringan penyamaan Andre Carrillo pada minit ke-54 untuk Peru meraih satu mata berharga.

Keputusan itu meletakkan Peru di tangga ketiga Kumpulan B dengan empat mata daripada tiga perlawanan, mata yang sama denan Colombia dan ketinggalan dua mata di berlakang juara bertahan, Brazil, manakala Ecuador pula berada di tangga keempat dengan dua mata daripada tiga perlawanan.