Persiden Persekutuan Bolasepak Ecuador, Francisco Egas, tidak menyalahkan jurulatih, Hernan Dario Gomez, dalam krisis yang dihadapi pasukan.

Skuad bimbingan Gomez itu bakal berdepan Chile selepas tewas 4-0 kepada Uruguay dalam aksi pembukaan Kumpulan C.

Ecuador kini tanpa sebarang kemenangan dalam lima perlawanan di bawah pimpinan Gomez, yang mengambil alih pasukan sejak Ogos tahun lalu.

Juara bertahan dua kali, Chile, memiliki permulaan yang cemerlang selepas mengatasi pasukan jemputan, Jepun, 4-0.

Bagaimanapun, Egas yang tetap mempertahankan Gomez, menegaskan menuding jari dengan menyalahkan jurulatih sepenuhnya merupakan sesuatu yang tidak wajar.

"Kami tidak memahami realiti sebenar mengenai bola sepak kami dan ia bukanlah kesilapan individu-individu tertentu," kata Egas.

"Jika kami percaya krisis dihadapi skuad kebangsaan berpunca daripada seseorang, kami sudah melakukan kesilapan.

"Hari ini, kami terpaksa menerima perkara-perkara yang tidak dilakukan dengan baik sejak beberapa tahun lalu."

Jurulatih La Roja, Reinaldo Rueda, merupakan bekas pengendali Ecuador dan impaknya merupakan sesuatu yang dikagumi oleh penjaga gol, Brayan Cortes.

"Keyakinan yang diberikan oleh Rueda kepada anda, kepada saya, adalah sesuatu yang sangat baik," kata Cortes.

"Terdapat pihak yang mengkritik dan mempersoalkan kebolehannya tetapi kami sudah bersedia. Kami sentiasa berusaha untuk memperbaiki permainan dan meletakkan keyakinan terhadapnya."