Colombia melunaskan dendam ke atas Ecuador selepas merakamkan kemenangan 1-0 dalam perlawanan pembukaan Copa America di Arena Pantanal, Brazil hari ini.

Ecuador membelasah Colombia 6-1 dalam pusingan kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan pada November lalu tetapi ia tidak lagi berulang dalam pertemuan kali ini.

Edwin Cardona menyudahkan gerakan set piece menerusi rembatan volinya pada minit 42 -- walaupun pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid -- untuk meletakkan Colombia di depan dan bermula baik dalam saingan Kumpulan B selepas juara bertahan, Brazil, turut menewaskan Venezuela dalam satu lagi perlawanan.

Bagaimanapun, aksi dalam separuh masa pertama itu berlangsung dengan membosankan, di mana kedua-dua pasukan bergelut untuk melakukan serangan.

Ecuador gagal merekodkan sebarang percubaan tepat sepanjang babak pertama walaupun penjaga gol Colombia, David Ospina, terpaksa menangkap bola di kaki Enner Valencia pada minit keenam.

Ketika separuh masa pertama itu seakan-akan berakhir hambar, Colombia kendalian Reinaldo Rueda berhasil menggegarkan jaring lawan dan jaringan itu disahkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).

Menerusi kerjasama sepasukan baik susulan satu gerakan set-piece, Cardona berhasil melepaskan sepakan voli ke dalam gawang tetapi pembantu pengadil segera menaikkan benderanya.

Bagaimanapun, keputusan itu berubah selepas semakan VAR untuk Colombia diberikan jaringan kemenangan tersebut susulan Miguel Borja didapati tidak berada di posisi ofsaid ketika melakukan hantaran kepada Cardona.

Seterusnya, Colombia akan berdepan Venezuela di Goiania, Khamis ini sebelum Ecuador berdepan lawan sama berselang tiga hari di Rio de Janeiro.