Colombia mencari peluang untuk melakar kejutan mara ke final Copa America buat pertama kali di tempat lawan apabila berdepan Argentina esok.

Los Cafeteros tewas enam separuh akhir di venue neutral, dengan hanya dua kali mara ke final -- pada 1975 dan 2001 -- menyaksikan mereka beraksi sekali di laman sendiri.

Skuad kendalian Reinaldo Rueda itu mengatasi Uruguay menerusi penentuan penalti dalam suku akhir -- David Ospina menafikan dua percubaan -- berikutan seri tanpa jaringan selepas 90 minit.

Perlawanan sukar dengan Argentina di Brasilia menanti dan Rueda, yang dilantik Colombia Januari lalu, gembira dengan peningkatan dipamerkan pasukan dalam tempoh singkat.

"Kami bermain secara kolektif menentang Uruguay, dengan banyak kualiti serta keseimbangan," katanya. "Semua ini membantu kami mempercayai bahawa kami dapat meneruskan penambahbaikan kami.

"Kami akan terus menuntut lebih banyak daripada pasukan ini dalam setiap sesi latihan sebelum perlawanan seterusnya."

kiranya Colombia mempunyai harapan untuk mengatasi Argentina, mereka perlu melakukan sesuatu yang gagal dilakukan oleh Ecuador, Bolivia dan Chile dengan membuat Messi gagal menyerlah ketika beraksi.

Dia mendahului carta penjaring Copa America dengan empat gol, termasuk sepakan percuma yang disempurnakan ketika menang dalam aksi suku akhir ke atas Ecuador, manakala melakukan empat assist.

Messi tidak pernah memenangi trofi bersama Argentina, dan itu tetap menjadi tumpuan utama penyerang itu menjelang pertembungan separuh akhir esok.

"Saya selalu mengatakan bahawa anugerah individu adalah perkara kedua. Kami di sini untuk sesuatu yang lain," katanya. "Kami mempunyai objektif dan kami fokus kepadanya."

Argentina mensia-siakan kelebihan dua gol sebelum seri 2-2 dengan Colombia dalam pertemuan terakhir mereka bulan lalu, perlawanan yang masih segar dalam ingatan Messi.

"Mereka bangkit dalam perlawanan yang kami berjaya dominasi. Itulah sebabnya kami tidak dapat menganggap ini sebagai sesuatu yang biasa," tambah Messi. "Kami harus memainkan permainan kami dan terus memegang bola."