Pemangku Presiden Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF), Antonio Carlos Nunes, berkata ketua jurulatih pasukan itu, Tite, tidak akan dipecat biarpun pengendali itu meragui keputusan negara berkenaan untuk menganjurkan Copa America.

Copa America 2021 akan mengambil tempat di Brazil bermula hujung minggu ini selepas Persekutuan Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) memilih negara itu selaku tuan rumah bagi menggantikan Argentina dan Colombia.

Bagaimanapun, masih belum ada sebarang kepastian sama ada skuad Selecao itu akan menyertai kejohanan berkenaan atau tidak.

Tite sebelum ini berkata Brazil hanya akan memberikan tumpuan terhadap perlawanan menentang Paraguay dalam pusingan kelayakan Piala Dunia manakala kapten, Casemiro, pula menyarankan agar seluruh pasukan itu bersatu membantah penganjuran Copa America berikutan ancaman pandemik COVID-19.

Terdapat dakwaan bahawa ada pihak yang menggesa Tite untuk digantikan berikutan pegangannya itu tetapi Nunes -- yang mengambil alih CBF selepas jawatankuasa etika badan pengelola itu menggantung Rogerio Caboclo selama 30 hari -- tidak merancang untuk melakukan sebarang perubahan.

"Saya boleh berkata seperti ini: bukankah kita pasukan yang sedang menang? Kita memenangi Copa America pada 2019," kata Nunes kepada O Liberal.

"Dan kini kita sudah hampir layak ke Piala Dunia.

"Dengan kata-kata seperti itu, anda tidak mengubah pasukan yang sedang menang.

"Saya seorang rakan kepada Tite. Saya tidak dapat bercakap dengannya Ahad lalu. Saya mahu memberitahunya bahawa keputusan itu di tangan saya ketika ini. Saya amat menggemari cara kerjanya. Dia seorang yang serius," katanya.

Nunes turut mengesahkan Copa America akan diadakan di Brazil dengan menambah: "Objektif utama kami adalah untuk layak ke Piala Dunia. Brazil tidak percah tercicir daripada Piala dunia.

"Mengenai Copa America. Colombia dan Argentina tidak mahu menganjurkannya kerana pandemik ini. CONMEBOL berbincang dengan Presiden Brazil (Jair Bolsonaro) dan beliau bersedia menerimanya.

"Ia adalah kelulusan daripada presiden republik ini. Saya perlu berbincang dengan presiden republik ini. Rujukan ini betul, Terdapat beberapa perkara perlu diselesaikan."