BRAZIL 2 COLOMBIA 1

Juara bertahan, Brazil mengesahkan kedudukan teratas Kumpulan B dengan cara penuh dramatik selepas menewaskan Colombia 2-1 dalam perlawanan kontroversi Copa America di Rio de Janeriro hari ini.

Colombia jelas tidak berpuas hati apabila jaringan penyamaan Roberto Firmino pada minit ke-78 terhasil setelah bola terkena pengadil, Nestor Pitana -- yang membenarkan perlawanan itu diteruskan tanpa mengentikannya untuk 'drop-ball' -- dan ia mencetuskan protes yang berlarutan panjang daripada kem Colombia.

Brazil kemudian menghukum kekecewaan Colombia dengan Casemiro menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-10 waktu kecederaan untuk skuad Selecao itu melebarkan rekod kemenangan mereka kepada 10 perlawanan berturut-turut.

Colombia pula terlepas peluang untuk menamatkan rekod Brazil itu biarpun mendahului 1-0 menerusi gol sepakan voli Luis Diaz pada minit ke-10.