Pemain tengah Barcelona, ​​Arthur, dan tonggak Real Madrid, Eder Militao, sudah bersedia untuk diturunkan dalam aksi kedua Brazil dalam Copa America 2019 menentang Venezuela di Bahia, pagi esok.

Arthur, 22, ditimpa masalah lutut dan dilaporkan pilihan utama untuk menggantikan tempat Fernandinho dalam kesebelasan utama yang direncanakan Tite manakala pertahanan, Militao, kembali mengikuti latihan susulan masalah pinggul.

Kedua-dua pemain itu tidak diturunkan ketika Brazil meraih kemenangan 3-0 ke atas Bolivia dalam perlawanan pembukaan Sabtu lalu.

Dua jaringan Philippe Coutinho dan jaringan lewat pemain gantian, Everton, membantu meredakan keresahan peminat dalam kempen di laman sendiri itu selepas babak pertama berakhir tanpa gol.

Tite kemudiannya tampil menggalakkan pemainnya supaya "memahami" kritikan dan ketua pasukan, Dani Alves, menyahut cabaran tersebut dalam misi memenuhi harapan tinggi yang digalas mereka.

"Setiap kali kami menyarung jersi ini, kami perlu membuktikan bahawa kami berhak," kata Alves.

"Kami mewakili sebuah pasukan bersejarah dan dihormati di seluruh dunia. Kami sentiasa bertanggungjawab, kami harus mempertahankan sejarah ini dengan penuh rasa hormat."

Brazil sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk menjinakkan Venezuela, sebuah pasukan yang mereka tewaskan dalam enam daripada tujuh pertemuan dalam Copa America.

Skuad kendalian Rafael Dudamel itu kecewa buntu tanpa jaringan dengan Peru biarpun mencipta beberapa peluang menarik meskipun mendapat khidmat Salomon Rondon sementara sentuhan penyerang Atlanta United, Josef Martinez, terpaksa diketepikan.

Luis Mago yang dibuang padang akibat mengutip kad kuning kedua dalam perlawanan itu mendorong Venezuela untuk mencari alternatif di bahagian pertahanan kiri.