CHILE 0 PARAGUAY 2

Paraguay mengesahkan tempat ke suku akhir Copa America selepas merakamkan kemenangan selesa 2-0 ketika menjinakkan Chile sebentar tadi.


Gol sumbangan Braian Samudio dan Miguel Almiron memastikan Paraguay mengatasi juara dua kali itu dalam perlawanan terakhir Kumpulan A di Brasilia, sekali gus mara ke pusingan kalah mati.

Gol sulung Samudio di peringkat antarabangsa meletakkan Paraguay di depan pada minit ke-33 dalam pertemuan di Estadio Nacional de Brasiliav itu.


Carlos Gonzalez hampir menggandakan kedudukan sebelum menutup separuh masa pertama.

Gonzalez kemudian dikasari pemain berpengalaman, Gary Menel, sebelum Almiron menyempurnakan sepakan penalti itu pada minit ke-55.

Lantas, Chile yang turun dengan cita-cita untuk mempertahankan rekod tanpa kalah di bawah asuhan ketua jurulatih, Martin Lasarte -- menang tiga dan seri tiga kali dalam enam perlawanan sejak dilantik -- sambil berusaha memberikan tekanan kepada pendahulu Kumpulan A, Argentina, tidak menjadi kenyataan.

Rayuan pemain tengah, Arturo Vidal, untuk sepakan penalti selepas mendakwa bola terkena tangan pemain lawan juga tidak diendahkan.

Mereka gagal menyerlahkan potensi sebenar apabila hanya melancarkan satu percubaan tepat sepanjang perlawanan tatkala Eduardo Vargas dan Ben Brereton sekadar menjadi penonton.