Tite mendedahkan Allan akan menggantikan Casemiro di bahagian tengah menjelang aksi suku akhir Copa America 2019 di antara Brazil dan Paraguay, pagi esok (8.30 pagi waktu Malaysia).

Casemiro digantung perlawanan setelah mengumpul kad kuning kedua di peringkat kumpulan ketika membelasah Peru 5-0, Ahad lalu.

Fernandinho merupakan satu lagi pilihan buat Tite tetapi pemain Manchester City tersebut masih bergelut dengan kecederaan lutut dan jurulatihnya mengesahkan Allan akan bermula dalam kesebelasan utama di Porto Alegre.

"Seandainya Fernandinho tidak dapat diturunkan, maka Allan akan beraksi," kata Tite dalam sidang media.

"Jika kami menang dan layak, mungkin Fernandinho sudah bersedia untuk beraksi dalam perlawanan berikutnya."

"Fernandinho hanya akan dipertaruhkan jika dia dalam keadaan terbaik."

Paraguay tidak pernah tewas dalam empat pertemuan terakhir menentang Brazil dalam Copa America, dengan dua aksi terakhir menyaksikan mereka mara melalui penentuan penalti dalam suku akhir.

Tite memberi amaran kepada pasukannya, yang mengumpul tujuh mata daripada tiga perlawanan dalam Kumpulan A, bahawa mereka perlu terus fokus.

"Mental perlu diperkuatkan kerana ia boleh menjadi penentu pertembungan ini," katanya.

"Perlawanan ini menuntut tumpuan yang sangat tinggi, kami perlu bersedia untuk menghadapi situasi yang berbeza-beza."