Pemain kelahiran Malaysia-Belgium, Dion Cools, memiliki alasan tersendiri untuk kekal beraksi dalam Liga Divisyen Satu Belgium selepas menolak pelawaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membantu skuad kebangsaan.

Cools, yang dilahirkan di Kuching, Sarawak, membuat ramai peminat bola sepak tanah air kecewa selepas menolak untuk kembali ke Malaysia kerana mahu membina kariernya di Belgium buat masa ini.

“Terdapat banyak permintaan daripada peminat untuk saya ke Malaysia tetapi saya tidak boleh memberi sebarang jawapan.

“Mungkin satu hari nanti saya akan beraksi di Malaysia tetapi saya masih muda dan perlu membina karier di kelab profesional buat masa sekarang,” ujar Cools.

“Apa yang menarik tentang Belgium adalah bola sepak merupakan sukan nombor satu dan membuatkan pembangunan di sana berjalan lancar,” katanya.

Dalam masa sama, Cools tidak menafikan wujud perbincangan di antara pihaknya dan FAM dalam usaha untuk membawanya pulang, namun usaha itu terhenti selepas pemain berusia 21 tahun itu menyatakan hasratnya untuk tidak meninggalkan Eropah.

“Mereka (FAM) tahu bagaimana untuk menghubungi saya tetapi seperti saya nyatakan, buat masa sekarang, saya lebih berminat untuk mengukuhkan karier di Belgium,” tambahnya.