Pengurus Tottenham, Antonio Conte, sangat gembira dengan Harry Kane sekalipun penyerang itu kurang menyengat musim ini.

Spurs melakar kemenangan 2-0 ke atas Brentford dalam pertemuan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) di antara kedua-dua pasukan semalam sementara Kane tidak menyumbat sebarang gol dan hanya melakar satu jaringan liga setakat ini.

Pemain antarabangsa England itu bagaimanapun, mencipta tiga hantaran penting dalam satu persembahan kreatif ketika dia memainkan peranan di posisi kegemaran yang menyaksikannya mengutip bola dari bawah.

Ketika Conte bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah kepada Norwich City -- kelab yang tidak pernah dihadapi oleh pengurus Itali itu dalam liga sebelum ini -- dia sekali lagi menawarkan sokongannya kepada ketumpulan penyudah anak buahnya tersebut.

"Pertama sekali, saya pasti Harry gembira jika kami menang meskipun dia tidak menjaringkan gol," kata pengurus berbangsa Itali itu terhadap Kane yang memiliki reputasi lima gol dalam tiga perlawanan liga ke atas The Canaries.

"Tottenham adalah fokus pertama kami dan Harry. Seperti yang saya katakan semalam, Harry bermain dengan sangat baik, dia berada dalam situasi yang membuka ruang buat kami menjaringkan gol dan dia juga mempunyai peluang menarik untuk menyumbat gol.

"Adalah penting untuk mempunyai peluang dan kami meningkat dengan pesat dalam aspek ini. Saya pasti Harry akan menjaringkan banyak gol.

"Saya pasti dia akan mempamerkan prestasi yang baik dengan cara yang sama ketika menentang Brentford dan setiap pasukan yang kami hadapi."

"Saya sangat gembira dengan corak permainannya. Saya tahu seorang penyerang mahu menjaringkan gol tetapi kami mahu mencipta lebih banyak peluang untuk merobek gawang lawan. Saya fikir kami meniti di jalan yang tepat untuk menghadapi situasi seperti ini."





Conte telah memenangi kedua-dua perlawanan sulung liga di tempat sendiri -– hanya Ryan Mason dan Harry Redknapp pernah memulakan langkah mereka dengan tiga kemenangan dalam sejarah kelab itu.

Walaupun baru berkhidmat, Conte telah menyelesaikan sebahagian daripada isu Spurs dan salah satu tugas seterusnya ialah kontrak baharu membabitkan ketua pasukan, Hugo Lloris, berikutan perjanjian semasanya akan tamat pada penghujung musim ini.

"Ya tetapi saya baru tiba," jawabnya apabila ditanya mengenai rundingan kontrak dengan Lloris.

“Saya baru sebulan di sini. Ketika ini, pastinya banyak situasi yang perlu diselesaikan.

"Hugo adalah kapten pasukan ini dan Perancis, kami bercakap tentang seorang penjaga gol terbaik. Dia sangat fokus sekarang. Dia tahu sangat kami sedang cuba melakukan yang terbaik.

"Saya sebagai jurulatih, Hugo sebagai penjaga gol dan setiap pemain perlu beraksi di tahap yang tinggi, tetapi yang pasti kami akan mempunyai masa untuk berunding dan saya menganggapnya sebagai pemain penting berdasarkan pengalamannya.

"Dia seorang penjaga gol yang bagus dan telah menunjukkan komitmen yang tinggi kepada kelab ini sejak sekian lama."