Ketua jurulatih Chelsea, Antonio Conte, mengakui perasaannya kini bercampur-baur susulan keputusan seri 1-1 yang diraih ketika berdepan Liverpool di Anfield.

Sepakan percuma David Luiz -- gol sulungnya untuk Chelsea sejak Februari 2013 -- meletakkan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di depan selepas 24 minit, namun Liverpool bangkit menerusi jaringan penyamaan Georginio Wijnaldum dalam sambutan hangat di Anfield, awal pagi tadi.

Di sebalik kegagalan Diego Costa untuk memuktamadkan kemenangan The Blues melalui sepakan penalti yang dimenangi pada minit ke-76, Conte tetap meraikan keputusan itu sejurus tamat permainan tatkala Chelsea menguasai liga dengan kelebihan sembilan mata.

Ditanya sama ada dia gembira dengan keputusan itu, Conte berkata: "Separuh-separuh. Untuk itu, saya berpuas hati dengan pemain saya di atas personaliti yang dipamerkan.

"Satu mata tetap berharga. Apabila kami memiliki peluang untuk menang ketika mendapat sepakan penalti pada minit ke-76, sudah tentulah anda akan membayangkan kemenangan dan memungut tiga mata.

"Saya berpendapat Costa telah mengambilnya dengan baik dan (Simon) Mignolet mempamerkan ketangkasan yang menakjubkan.

"Kami juga memiliki dua peluang pada separuh masa kedua.

"Perlawanan ini cukup luar biasa, sangat sengit, berintensiti tinggi, kedua-dua pasukan berdepan tekanan hebat dan untuk itu, mereka melakukan banyak kesilapan.

"Saya berpuas hati dengan penampilan pemain-pemain saya."

Conte turut memuji jaringan yang dilakukan David Luiz dan berharap pemain Brazil berkenaan terus konsisten.

"Saya gembira dengan David Luiz kerana dia bermain dengan cukup baik. Adalah penting untuk dia melupakan gol ini dan terus memberi fokus untuk perlawanan akan datang dengan Arsenal."

Conte mengingatkan anak buahnya agar berwaspada dengan Arsenal yang pernah menewaskan mereka 3-0.

"Ini mungkin peluang terbaik kami untuk membuktikan bahawa dalam separuh saingan musim ini, kami adalah pasukan berbeza."